Showing posts with label BERITA. Show all posts
Showing posts with label BERITA. Show all posts

Thursday, August 29, 2013

KL Gangster 2 Bocor!?


FILEM arahan pengarah terkenal, Syamsul Yusof, KL Gangster 2 yang menelan kos mencecah RM 4 juta dikhabarkan telah tersebar di internet meskipun ia masih belum ditayangkan di mana-mana pawagam.

Melalui status Facebooknya yang terkini, Syamsul memberi amaran keras terhadap pihak yang melakukan perkara tersebut.

“Peringatan buat semua, pihak Skop Production dan Grand Brilliace akan mengambil tindakan keras kepada mana-mana individu yang mengedarkan atau memuatnaik filem KL Gangster 2 tanpa kebenaran, di mana-mana media sekalipun.

“Kami dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan habis-habisan untuk mengesan mereka yang bertanggungjawab," katanya.

Sinar Harian Online difahamkan, Syamsul sendiri telah pergi membuat laporan polis, pagi tadi.

Sementara, di laman sosial Facebook Skop Productions menulis, “Amaran: Laporan polis telah dibuat ke atas pihak yang bertanggungjawab mencuri dan memuatnaik filem terbaru kami di laman internet.”

Status itu juga menyebut, “Kami akan pastikan pihak yang bertanggungjawab tak akan terlepas. Hentikan penyebaran ‘link’ di laman sosial sebelum tindakan dikenakan.”

Sementara itu, status Facebook tersebut turut memberitahu pemantauan telah dijalankan dari pihak polis anti-siber.

“Sebarang maklumat ‘link’ yang dimuatnaik atau muatturun di laman Facebook, Youtube, blog, Twitter dan sebagainya akan diambil tindakan.

“Ini adalah satu jenayah serius dan tidak akan dibiarkan,” tulisnya.

Filem sekuel arahan Syamsul, KL Gangster berjaya meraih kutipan box office RM12 juta.

Sunday, August 25, 2013

Anak Dedah Punca Kematian Timbalan Ketua Pengarah Kastam Mati Di Tembak



Anak Dedah Punca Timbalan Ketua Pengarah Kastam Mati Di Tembak

Pembunuhan pegawai tertinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan kereta berpangkalan di pulau bebas cukai Langkawi, kata ahli keluarganya. Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim ditembak mati di Putrajaya pada 26 April, beberapa minggu sebelum keganasan berkaitan pistol tersebar ke seluruh negara.

“Pembunuhan bapa saya dirancang, ia ada kaitan dengan sindiket penyeludupan kereta di langkawi," kata Mohd Akhtar Shaharuddin. Malah beliau sendiri yakin dalang pembunuhan bapanya adalah dari jabatan Kastam sendiri."Saya pasti akan hal itu biarpun polis menafikannya," kata arkitek berumur 30 tahun itu.

"Bapa saya pernah menceritakan kekecewaan beliau terhadap penyelewangan kuasa pegawai kastam yang terlibat dalam rasuah ini berkaitan dengan sindiket penyeludupan kereta di Langkawi.

"Tidak lama selepas membuat aduan itu, beliau menerima surat pertukaran kerja. Surat itu, bagaimanapun ditarik balik apabila Kesatuan Kastam campurtangan dan berjuang mempertahankan hak bapa saya," katanya.

Sebulan selepas itu, Shaharuddin ditembak ketika sedang memandu ke pejabatnya di Putrajaya."Tidak ada siapa faham kehilangan orang tersayang dengan cara kejam begini kecuali bagi mereka yang pernah melalui sendiri kerana itu saya amat berharap kematian bapa dibela," katanya.

Yang lebih menyedihkan Akhtar, empat bulan selepas bapanya ditembak mati, tiada sesiapa didakwa kerana membunuh.Pertama kali bercakap kepada media, Akhtar mengatakan bapanya menerima panggilan daripada pemberita bertanya tentang sindiket penyeludupan kereta di Langkawi, beberapa minggu sebelum ditembak mati.

Tanpa berfikir panjang, orang nombor tiga dalam Kastam itu ke Langkawi untuk menyiasat."Beliau merupakan seorang yang tegas dan tidak pernah menceritakan apa-apa masalah tentang kerja dengan keluarga. 

Namun saya diberitahu oleh ibu, seorang wartawan ada menelefon bapa saya bertanyakan mengenai isu sindiket penyeludupan kereta di Langkawi," kata Akhtar.

Akan tetapi beliau tidak pasti sama ada bapanya sempat bercakap dengan pemberita itu selepas pulang dari Langkawi.Akhtar turut mendedahkan bapanya menerima banyak ugutan termasuk peluru dihantar ke rumah mereka.

Menurutnya, beliau membuat pendedahan kerana kecewa dengan layanan dingin diberikan polis ke atas siasatan kes bapanya."Bayangkan sudah hampir berapa bulan kes ini berlaku jangan kata suspek malah sebarang petunjuk tidak diberikan polis," katanya.

Katanya kali terakhir dia berjumpa dengan polis pada bulan Ramadan lalu setelah digesa beberapa kali untuk mendapatkan perkembangan siasatan."Dalam tempoh berapa bulan selepas kejadian saya hanya berjumpa dengan polis dalam dua atau tiga kali.

"Bagaimanapun selepas sebulan mereka langsung senyap dan saya terpaksa mengejar polis untuk mengetahui perkembangan kes," katanya.Menurut Akhtar, layanan diberikan polis terhadap kes bapanya dianggap tidak adil walaupun bapanya merupakan pegawai tinggi kerajaan yang banyak menyumbang kepada negara.

"Kita bercakap tentang pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah, siapa beliau.. tidakkah jasa beliau tidak ternilai kepada negara jadi kenapa memperlakukan keluarga kami begini,” katanya kecewa.Tegas Akhtar beliau hanya mahu keadilan bagi bapanya.

"Bapa saya seorang berdedikasi dan pegawai jujur tidak pernah mengambil kesempatan terhadap kelebihan dimiliki walaupun dia boleh berbuat demikian," katanya lagi.

Shaharuddin yang mengetuai bahagian Pekastaman dan Cukai Dalam Negeri hanya tinggal setahun untuk bersara sebelum ditembak mati pada 26 April.Beliau yang dilahirkan di Negeri Sembilan itu sudah berkhidmat selama 30 tahun bersama Kastam dan diberikan jolokan "Mr Clean".

Mangsa yang duduk di bahagian penumpang depan kenderaan pacuan empat roda (4WD) ditembak tiga das oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah dilapor menafikan kaitan pembunuhan Shaharuddin dengan sindiket penyeludupan kereta di Langkawi.

“Ia merupakan spekulasi semata-mata,” Ku dilaporkan berkata.Laporan sebelum ini mengatakan polis sudah menyiasat 35 orang untuk kes ini termasuk pegawai-pegawai Kastam dan menahan dua orang untuk siasatan lanjut.

Seorang daripadanya merupakan ahli perniagaan dan seorang lagi merupakan pengedar alat ganti. Kedua-duanya kemudian dibebaskan dengan jaminan.Ku yang dihubungi semula berhubung pendedahan terbaru ini mengatakan, "kami masih menyiasat".

Kes tembak itu berlaku tidak lama sebelum pilihan raya umum ke 13. Kes itu mengejutkan kerana ianya melibatkan pegawai tinggi kerajaan.Selepas kes Shaharuddin, 35 kes tembakan berlaku di seluruh negara yang melibatkan 22 kematian. 

Friday, August 23, 2013

ISU Alvin Tan Vivian - Mohon Batal Satu Pertuduhan


KUALA LUMPUR - Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee yang didakwa dengan pertuduhan mempersendakan umat Islam dan Ramadan, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi mereka mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan.

Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau Lee May Ling, 24, memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu lepas.

Dalam permohonan itu, mereka memohon perintah deklarasi bahawa Seksyen 298A Kanun Keseksaan adalah tidak konsisten dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak sah di sisi undang-undang.

Pasangan itu juga memohon perintah deklarasi bahawa Seksyen 298A adalah tidak terpakai dan tidak boleh dikuatkuasakan terhadap mereka.

Mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan, Tan dan Lee didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang bertajuk "Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!)" yang mengandungi logo Halal, berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama di kalangan penganut agama berlainan.

Terdahulu, ketika prosiding di Mahkamah Sesyen, peguam Chong Joo Tian, yang mewakili Tan dan Lee memaklumkan bahawa anak guamnya telah memfailkan permohonan itu ketika kes mereka disebut di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Murtazadi kemudian menetapkan 19 Sept ini untuk pengurusan kes.

Mengikut pertuduhan, Alvin dan Vivian didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian - Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yang sama, mengikut Akta Hasutan 1948.

Mereka juga didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/, antara 6 Julai dan 7 Julai lepas, antara 9 malam dan 2 pagi, mengikut Akta Penapisan Filem 2002.

Sementara itu, Chong ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata permohonan itu difailkan atas alasan pertuduhan yang dihadapi anak guamnya mengikut Seksyen 298A adalah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Mengikut perlembagaan, seksyen itu hanya terpakai bagi mereka yang beragama Islam dan tidak boleh dikuatkuasakan terhadap kedua-dua anak guamnya kerana mereka non-muslim," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haffiza Jemali.- Bernama

Monday, July 1, 2013

Hodak Puji Ahmad Fakri


Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak memuji persembahan penyerang The Red Warriors (TRW), Ahmad Fakri Saarani yang beraksi cemerlang pada saingan Liga Super menentang Pahang, di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam kelmarin.
Jurulatih berusia 42 tahun dari Crotia itu berkata, prestasi permainan Ahmad Fakri kini semakin meningkat apabila berjaya mencipta beberapa peluang terbaik pada perlawanan itu.
Katanya, beliau berharap bekas penyerang kelab Portugal Atletico SC itu dapat mengekalkan prestasi terutama menjelang perlawanan akhir Piala FA dengan Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
“Ahmad Fakri bermain sangat baik malam ini (malam kelmarin). Dia berhak mendapat pujian apabila bekerja keras sepanjang perlawanan dan boleh dianggap sebagai pemain paling rajin.
“Dia berjaya mencipta beberapa peluang selain turut mendapat peluang untuk menjaringkan gol, namun hanya nasib tidak menyebelahinya.
Badhri, Zamri jadi wira
“Prestasinya baik setakat ini dan ia perlu dikekalkan menjelang perlawanan akhir Piala FA. Dia hanya perlu lebih tenang di hadapan pintu gol,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Pahang di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam kelmarin.
Dalam perlawanan itu, kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi dan Zamri Ramli menjadi wira TRW apabila masing-masing menyumbangkan satu gol untuk memastikan kemenangan 2-0 ke atas Pahang.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Kelantan merampas kedudukan tangga kelima dalam liga daripada Pahang.
Selain itu, Hodak berkata, beliau turut gembira apabila pemain tengah, Indra Putra Mahayuddin sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan boleh diturunkan pada perlawanan akhir Piala FA.
Katanya, semua pemainnya berada tahap terbaik menjelang perlawanan akhir itu kecuali Dickson Nwakaeme yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
“Indra sudah pulih dan ia memberi impak yang baik kepada pasukan dalam melakukan persediaan untuk final Piala FA,” katanya.

Friday, April 26, 2013

Keputusan UPSI gantung Adam Adli


KUALA LUMPUR - Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes semakan kehakiman pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abdul Halim, hari ini mengingatkan pelajar itu supaya menghormati pemimpin walaupun pegangan politik berbeza.

Hakim Datuk Zaleha Yusuf berkata demikian dalam penghakimannya selepas menolak permohonan Adam Adli untuk mencabar keputusan UPSI yang menggantungnya kerana melanggar peraturan universiti.

Beliau tidak menetapkan sebarang kos setelah mengambil kira pemohon (Adam Adli) adalah seorang pelajar.

Hakim Zaleha berkata perbuatan Adam Adli di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Disember 2011, telah mendapat publisiti meluas dan sebagai pelajar UPSI, nama UPSI turut tercalit dan pihak universiti berhak mengambil tindakan disiplin terhadapnya.

"UPSI memberitahu mahkamah bahawa Adam Adli telah diberi peluang untuk mengemukakan kesnya dan beliau boleh menghantar wakil. Tetapi pemohon menolak untuk menghantar wakil dalam prosiding jawatankuasa tatatertib UPSI dan tidak memberi sebarang bantahan semasa prosiding dijalankan.

"Beliau tidak hadir walaupun telah dimaklumkan sebelum itu dan Adam Adli hanya menghantar wakil untuk mengetahui keputusan pihak jawatankuasa sahaja," katanya.

Tambahnya, afidavit jawapan Adam Adli juga tidak mempertikai dakwaan responden berhubung alasan kenapa keputusan penggantungan dibuat. 

Hakim Zaleha berkata Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2009 yang dipinda turut memberi hak kepada jawatankuasa tatatertib UPSI mengendalikan prosiding terhadap pelajar dan ianya sah. 

Pada 17 April 2012, Adam Adli, 24, pelajar semester kelima Pengajian Inggeris sebagai Bahasa Kedua, memfailkan permohonan tersebut dengan menamakan UPSI, jawatankuasa rayuan tatatertib dan kerajaan sebagai respondan.

Beliau memohon supaya Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan jawatankuasa rayuan pada 8 Mac 2012 yang menolak rayuannya terhadap perintah jawatankuasa tatatertib UPSI yang menggantungnya.

Pada 9 Jan 2012, jawatankuasa tatatertib memerintahkan penggantungan selama tiga semester ke atas Adam Adli yang akan berakhir penghujung September tahun depan.

Dalam permohonannya itu, Adam Adli berkata dia didapati bersalah oleh jawatankuasa tatatertib kerana memburukkan nama universiti itu dan mengganggu ketenteraman serta keselamatan awam.

Peguam Mohd Afiq Mohd Noor yang mewakili Adam Adli memberitahu pemberita, pihaknya akan mengemukakan rayuan. - sinar harian

Monday, February 20, 2012

Ditahan dan Diugut Sebar Gambar Bogel Pasangan Kekasih

DUNGUN - Seorang remaja yang dipercayai menyamar sebagai penguat kuasa agama yang memukul dan mengarahkan sepasang kekasih berbogel untuk dirakamkan aksi mereka ketika mangsa memadu asmara di Pantai Sura Hujung, di sini, berjaya ditahan.
Manakala dua lagi rakan suspek masih diburu. Selain bertindak memukul dan merakam gambar bogel mangsa, suspek berumur 18
hingga 20-an itu turut mengugut pasangan kekasih itu supaya membayar sebanyak RM2,000 sekiranya tidak mahu gambar bogel mereka disebarkan dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu.


Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, pasangan kekasih berumur 20-an yang berada di dalam kereta didatangi tiga lelaki berkenaan.Pasangan terbabit yang cemas kemudiannya membiarkan ketiga-tiga lelaki terbabit memasuki keretanya dan suspek dikatakan turut memukul serta memaksa pasangan itu menanggalkan pakaian.
Kedua-dua mangsa juga turut mengikut arahan suspek yang merakam gambar bogel mereka dengan telefon bimbitnya. Selepas merakamkan aksi bogel terbabit, suspek kemudiannya meminta wang tunai sebanyak RM2,000 dimasukkan ke dalam akaunnya bagi mengelak gambar mereka disebar kepada umum.
Mangsa bagaimanapun mendakwa tidak mempunyai wang memandangkan waktu itu bank telah tutup dan selepas berbincang, suspek bersetuju dengan cadangan mangsa yang meminta diberi sedikit masa untuk menjelaskan wang itu pada keesokan harinya.Suspek kemudiannya melepaskan pasangan terbabit sebelum kedua-dua mangsa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk membuat laporan.Keesokan harinya mangsa menghubungi suspek untuk bertemu di lokasi di mana mereka ditahan dan ketika tiba di tempat kejadian, kira-kira pukul 9 malam, suspek diserbu polis dan berlaku pergelutan dalam usaha suspek meloloskan diri.
Suspek yang berusia 18 tahun itu berjaya ditahan sebelum dibawa ke IPD Dungun untuk siasatan lanjut manakala dua rakannya itu berjaya melarikan diri.Turut dirampas sebilah parang panjang daripada suspek dan gerakan memburu dua lagi suspek sedang giat dijalankan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan segelintir mereka yang cuba mengambil kesempatan termasuk menyamar sebagai penjawat awam. 
-Bernama-

Sunday, February 19, 2012

Sokong Bantah Pembinaan Panggung Wayang!!

BANGI - Penduduk Bangi tidak merasakan pembinaan panggung wayang satu keperluan kerana menyifatkan banyak kepentingan lain lebih berfaedah, demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi, Dr Shafie Abu Bakar.
Beliau berkata, dengan kecanggihan teknologi dan kemudahan internet, sesiapa sahaja boleh menonton pelbagai cerita.
“Keperluan pembinaan wayang ini bukanlah keluhan mahupun permintaan penduduk, ia desakan orang luar.  “Malah Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi yang ditubuhkan sejak 1971 turut bersetuju agar tidak dibina panggung wayang kerana sebelum ini bangunan sama di Kajang dan Warta Bangi ditutup tidak sampai setahun kerana tidak mendapat sambutan,” katanya.  
Beliau berkata demikian ketika me­ngulas dakwaan mengatakan pihaknya ketinggalan zaman dan berfikiran terkebelakang apabila tidak bersetuju dengan pembinaan panggung wayang di Bangi.  
Beliau berkata, tuduhan seumpama itu sama sekali tidak wajar.  Menurutnya, panggung wayang kini bukan lagi menjadi pilihan utama kerana dalam keadaan zaman serba canggih, penduduk mempunyai banyak alternatif lain untuk menonton.  “Tidak perlu bazirkan wang, penduduk mempunyai pilihan sekiranya mahu menonton di panggung wayang sama ada di Kuala Lumpur, Putrajaya dan sebagainya, jadi tidak menjadi keperluan yang mendesak untuk membina bangunan ini di Bangi,” katanya.
-sinarhrian- 

 Pss:Teringat mase dulu pegi panggung wayang tengok citer Xbeli pon popcorn..melilih air liur tgok..hahaha

Wednesday, February 1, 2012

Sepupu dirogol 15 Kali Sejak Dua Tahun Lalu

 
KEMAMAN – Gara-gara berajakan nafsu binatang, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun tergamak menjadikan sepupunya yang masih bersekolah rendah sebagai hamba seks dengan merogolnya sebanyak 15 kali sejak dua tahun lalu dalam kejadian di sebuah kawasan Felda di Air Putih, dekat sini.
  
Dalam tempoh dua tahun itu juga lantai rumah bahagian dapur bersebelahan meja makan menjadi tempat remaja terbabit melampiaskan nafsunya ketika bapa, nenek dan ahli keluarga lain nyenyak tidur diulit mimpi.
Namun perbuatan terkutuk remaja itu akhirnya terbongkar apabila bapa suspek sendiri melihatnya anaknya itu sedang memperkosa anak saudaranya yang berusia 12 tahun ketika dia mahu ke dapur dan membuka lampu dapur dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Ahad lalu.
Berang dan terkejut dengan perlakuan itu, bapa suspek memukul suspek dan sejurus berita buruk itu diberitahu ibu mangsa berumur 42 tahun menetap di Johor, ibu mangsa segera pulang sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Air Putih pada jam 1.06 tengah hari kelmarin dan melakukan pemeriksaan di Hospital Kemaman.
Difahamkan, mangsa dan suspek dijaga nenek kandung mereka berusia 60 tahun dan tinggal di rumah itu bersama bapa suspek dan seorang lagi bapa saudara.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, berdasarkan hasil soal siasat mangsa mengakui dalam kejadian malam Ahad lalu dia yang sedang mengemas buku di dalam bilik secara tiba-tiba didatangi sepupunya yang kemudian mengajaknya ke bahagian dapur lantas lampu dapur ditutup lalu mengajak mangsa melakukan seks sebelum perbuatan terkutuk itu disedari bapa suspek sendiri.
Hasil soal siasat, mangsa mengakui telah dirogol oleh sepupunya sebanyak 15 kali sejak dia berusia 10 tahun hingga menyebabkannya ketagihan seks dan perkara itu tidak diketahui sesiapa.
Menurutnya, bertindak daripada laporan dibuat, polis menyerbu rumah berkenaan tetapi gagal menangkapnya kerana suspek terlebih dahulu melarikan diri bersama pakaian mangsa iaitu seluar dalam, seluar dan baju dipakai ketika mangsa dirogol kali terakhir.
Katanya, sehubungan itu suspek kini sedang diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
“Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat,” katanya.
-sinar-

Tuesday, January 31, 2012

Pelajar Tahfiz Dipaksa Jadi Buruh Ladang

 KUALA LUMPUR: “Selama lebih setahun keringat kami diperah di ladang yang dibuka lelaki itu dan selama itu kami tidak menghadiri kelas seperti yang dijanjikan ketika dihantar ibu bapa ke pusat tahfiz itu,” kata Kamal, 24, bekas pelajar pusat tahfiz di Kedah yang diasaskan lelaki dikenali sebagai Azhar Wahab. 

Menurutnya, sejak pusat tahfiz itu dibuka 12 tahun lalu, lelaki terbabit bukan saja memerah keringat ratusan anak yatim dan pelajarnya bagi tujuan memungut derma, malah turut menjadikan kanak-kanak dan remaja berkenaan seperti buruh paksa di ladang kelapa sawit miliknya.
Katanya, hasil penat lelah pelajar itu, lelaki terbabit mengaut keuntungan besar sehingga didakwa mempunyai kekayaan luar biasa termasuk memiliki beberapa banglo, kenderaan mewah dan pejabat rasmi dianggarkan bernilai jutaan ringgit.Hasil daripada aktiviti perladangan dan derma yang dikutip pelajar tahfiz itu dimasukkan ke sebuah tabung khas yang dikendalikan bahagian sumber manusia pusat itu.
Mendedahkan kekayaan luar biasa pengasas pusat tahfiz itu, Kamal berkata dia antara pelajar terawal direkrut untuk mengumpul dana hasil kutipan derma daripada masyarakat termasuk menjual produk, hiasan ayat al-Quran, herba, kalendar dan minyak gosok kepada orang ramai di merata lokasi.

Arkib Berita 2012/1

PORT DICKSON: Sebuah premis perniagaan dipercayai menggunakan kanak-kanak untuk menjual pelbagai barangan di sekitar negeri ini dan Melaka diserbu pihak berkuasa dalam operasi bersepadu membabitkan pelbagai jabatan di Lukut, pagi semalam.
Ketika serbuan, terdapat kira-kira 80 kanak-kanak berusia antara 10 hingga 15 tahun berada di premis lot kedai yang turut menempatkan pejabat operasi perniagaan.
Harian Metro difahamkan, kanak-kanak berkenaan pelajar sebuah pusat tahfiz di Kedah dan berada di situ untuk beberapa hari bagi menjalankan perniagaan.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada orang ramai mengenai kanak-kanak terbabit yang mengutip derma dan menjual barangan.
“Kanak-kanak terbabit mengutip derma dan menjual barangan sekitar bandar ini, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban dan Nilai di Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus).
“Berikutan itu, pihak kami memeriksa premis terbabit dan tiga kakitangan di situ ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Lukut untuk membantu siasatan,” katanya.

Katanya, serbuan itu turut disertai polis, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan.
MPPD dalam satu kenyataan menyatakan lima saman dikeluarkan terhadap pengurusan premis itu, iaitu kesalahan melakukan binaan tanpa kelulusan, berniaga tanpa lesen dan menggunakan premis perniagaan sebagai stor.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Pusat Rawatan Cinta Negeri Sembilan/Melaka, Badrin Mispami berkata, penjualan barangan oleh pelajar pusat tahfiz itu sebahagian daripada aktiviti kokurikulum bertujuan menjadikan mereka ahli perniagaan berjaya pada masa depan.

“Pusat itu hanya dijadikan transit apabila pelajar menjual barangan sekitar negeri ini antara dua hingga tiga hari,” katanya.
-mymetro-

Thursday, January 26, 2012

Datuk Didakwa Cabul Kehormatan Cucu Perempuan

KUALA LUMPUR - Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap empat pertuduhan mencabul kehormatan cucu perempuannya yang berumur sembilan tahun.

Warga emas berusia 74 tahun itu dituduh mencabul kehormatan kanak-kanak perempuan itu di empat tempat berasingan termasuk di dua buah hotel dan dalam sebuah kereta di sini antara pukul 1 tengah hari hingga 6 petang, antara April 2010 dan Oktober 2011.
Dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.
Semasa pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, ibu kanak-kanak perempuan itu yang merupakan pengadu dalam kes itu, dilihat menangis dan ditenangkan oleh anggota keluarganya.
Majistret Zulkpli Abdullah membenarkan warga emas itu diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Feb untuk sebutan semula kes.
Tertuduh diwakili peguam Muhammad Fauzi manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya S.Malini Anne.- 
Bernama

Arkib Berita 2011

Pensyarah miang. Itulah gelaran buat seorang lelaki yang juga pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia 50-an apabila mencabul seorang pelajar perempuan dalam biliknya di universiti berkenaan, kelmarin.

Lebih keji, pensyarah itu didakwa cuba memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan melakukan aksi ringan-ringan dengan mengumpan untuk meluluskan pelajar itu dalam peperiksaan selepas mangsa enggan melayani kehendak seksualnya.

Bagaimanapun, keengganan mangsa memenuhi permintaannya menyebabkan pensyarah itu mula bertindak kasar dengan meraba serta mencium gadis terbabit menyebabkan berlaku pergelutan dalam bilik berkenaan.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa bernasib baik apabila berjaya keluar dari bilik pensyarah berkenaan sebelum membuat aduan kepada pensyarah lain dan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini.

Sumber berkata, kejadian bermula ketika mangsa mahu ke bilik pensyarah berkenaan bagi menghantar tugasan yang diberikan. “Namun, dia terserempak lelaki itu di luar bilik sebelum mangsa diberikan kunci dan diarah menunggu di dalam bilik itu.


“Pensyarah itu muncul kira-kira 10 minit kemudian. Sebaik masuk ke biliknya, pensyarah berkenaan terus memegang pipi mangsa sebelum duduk di kerusinya,” katanya. Beliau berkata, mangsa yang bingung dengan tindakan itu memberitahu mahu menghantar tugasan. “Bagaimanapun, pensyarah itu mendakwa tidak mahukan tugasan berkenaan sebaliknya memberitahu mahukan benda lain,” katanya.


Sumber berkata, mangsa yang tidak faham kemudian bertanya apa yang dimahukan pensyarahnya itu.“Dengan bersahaja, pensyarah itu bangun dan mengunci pintu bilik sebelum menarik tangan mangsa serta memeluknya. Lelaki terbabit kemudian memberitahu mahu mencium mangsa.

“Mangsa cuba menolak dengan baik, namun lelaki itu terus meraba badannya walaupun dia merayu tidak diperlakukan demikian,” katanya. Katanya, mangsa yang bengang dengan tindakan itu memarahi pensyarah terbabit. “Difahamkan, lelaki itu dengan bersahaja mengumpan untuk meluluskan mangsa jika memenuhi kehendak seksualnya,” katanya.

Biarpun diumpan dengan keputusan cemerlang, mangsa masih berkeras menolak pelawaan lelaki itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka. Pelajar terbabit bernasib baik kerana berjaya keluar dari bilik sebelum membuat aduan kepada pensyarah dan kakitangan universiti berkenaan. Mangsa yang trauma dengan insiden itu kemudian tampil membuat laporan di IPK Kuala Lumpur, selepas dinasihatkan rakan, pensyarah lain dan keluarganya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan 

MyMetro29/11/Nov

Budak Maut Dihempap Van Bapa

 SEREMBAN – “Keadaan masa itu kelam-kabut. Kami memanggil antara satu sama lain,” kata Suhana Sofia Omar, 27, salah seorang mangsa kemalangan membabitkan sebuah van terbalik di Kilometer 254.1 Lebuh Raya Utara Selatan, di sini, semalam.
Menurut Suhana, sebaik sahaja van dinaikinya terbalik, dalam keadaan panik serta gelap, dia cuba memanggil anak saudaranya, Danish Abdul Latif, 6, yang tidak kelihatan pada masa itu.
“Saya memanggil satu persatu penumpang dalam van, termasuklah memanggil Danish.
“Namun, saya tidak mendengar sebarang sahutan daripada Danish sehinggalah saya berjaya merangkak keluar menerusi tingkap van yang pecah dan mendapati Danish sudah pun terkulai layu terhimpit di bawah van,” katanya ketika menceritakan detik cemas kemalangan berkenaan kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, van dinaiki sembilan sekeluarga terbalik selepas terbabas menyebabkan kanak-kanak berkenaan meninggal dunia akibat tercampak keluar dan dihempap van terbabit.
Kemalangan itu turut menyebabkan ibu mangsa, Zurina Omar, 36, yang sedang hamil serta bapanya, Abdul Latif Abdul Rahim, 38, bersama enam lagi ahli keluarga lain, termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia satu dan 10 tahun cedera.
Suhana Sofia berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur di bahagian belakang van berkenaan.
“Saya mula tersedar apabila secara tiba-tiba terasa van yang kami naiki sudah terbalik di sebelah kiri jalan,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini semalam.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, Danish meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala lapan lagi penumpang van berkenaan hanya cedera ringan.
“Sewaktu kejadian, van jenis Joylong yang dipandu bapa mangsa dikatakan terbabas, sebelum terbalik di tepi longkang di lebuh raya berkenaan,” katanya.

Saturday, January 21, 2012

Izwan Pilus Meninggal Dunia Akhir Petang

 Penyanyi Khairil Izwan Pilus, 33, atau lebih dikenali sebagai Izwan Pilus telah menghembuskan nafas terakhirnya sekitar jam 6:20 petang tadi di Hospital Ampang. Sumber mengatakan arwah meninggal dunia akibat jangkitan kuman di saluran pernafasan (lung infection). Berita ini telah disahkan oleh beberapa rakan artis yang dihubungi oleh Aril AF, adik arwah sendiri.
Izwan Pilus, pernah popular dengan lagu berjudul ‘Kembali Senyum’, sebuah lagu asal daripada drama Korea “Full House” yang diadun semula dalam versi Melayu. Al-Fatihah untuk arwah Izwan Pilus.
Update 1 – Menurut sumber, Aril AF kini sedang menguruskan jenazah Allahyarham untuk dibawa balik ke kampung halaman, Melaka.
Update 2 – Allahyarham meninggal dunia tepat jam 6.15 petang menurut Twitter rasmi Aril AF di Hospital Ampang.
Update 3 – Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Taman Nyalas 2, Taman Nyalas Permai, Jasin, Melaka.
Update 4 – Sebelum arwah pergi meninggalkan kita, beliau sempat me-muatnaik gambarnya yang terakhir.
-ohbulan-
 Gambar Terakhir arwah meninggal dunia.

Antara Lagu-lagu arwah..


















"Semoga arwah ditempatkan orang-orang yang beriman"

Thursday, January 19, 2012

Pelajar Simbah Asid

KOTA BHARU - Dua pelajar ditahan kerana disyaki menyimbah asid terhadap seorang lelaki, Wan Hussin Wan Yusoff, 52, di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tendong, Ahad lalu.
Kedua-dua pelajar terbabit masing-masing berusia 16 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, dalam dua serbuan berasingan antara jam 2.35 hingga 2.45 pagi semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua pelajar terbabit dipercayai dijanjikan akan mendapat upah daripada bekas isteri kedua mangsa.
Beliau berkata, salah seorang daripada pelajar terbabit yang belajar di sebuah sekolah agama menyimbah asid terhadap mangsa jam 12.15 pagi.
Katanya, kedua-dua pelajar terbabit yang berasal dari Kampung Kutan, Wakaf Bharu, Tumpat kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.
“Sebaik menahan pelajar terbabit, hasil soal siasatan, kita berjaya menemui semula botol asid yang dibuang ke dalam parit yang mengandungi air sejauh kira-kira dua kilometer daripada rumah mereka,” katanya semalam.
Jalaluddin berkata, polis kini mengesan tudung botol asid terbabit yang dipercayai dibuang berhampiran tempat kejadian. Sebelum ini, polis menahan dua bekas isteri mangsa yang berusia 31 dan 42 tahun untuk membantu siasatan.
-sinar harian-


Arkib Berita 2011/9 Mei/22 KesSimbah Asid tahun 2011

KUALA LUMPUR  - Polis mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan di beberapa lokasi di ibu negara dikenal pasti menjadi tumpuan dua lelaki bermotosikal yang terlibat dalam 22 kes menyimbah cecair dipercayai asid.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, siasatan mendapati kebanyakan wanita yang menjadi mangsa diserang semasa bersendirian atau berjalan di laluan tidak sesak menuju ke kawasan letak kereta atau stesen transit aliran ringan (LRT). 
"Lokasi yang kerap menjadi sasaran suspek adalah di tepi jalan sekitar kawasan sekolah, tempat letak kereta, stesen LRT dan pondok menunggu bas. 
"Polis kini meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan di tempat-tempat tersebut dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang mendakwa suspek di mahkamah jika ditangkap," katanya di sini hari ini. 
Chin Wah berkata, perbuatan tersebut dikesan aktif mulai Februari hingga 27 Mac lalu apabila 18 kes dilaporkan berlaku dalam tempoh tersebut. 
Katanya, kejadian yang reda seketika selepas 27 Mac lalu, didapati berulang kembali pada 6 dan 7 Mei lalu dengan masing-masing dua kes dilaporkan di daerah Sentul dan Dang Wangi. 
"Kebanyakan mangsa adalah kalangan wanita yang dalam perjalanan pergi dan pulang bekerja tetapi terdapat juga serangan berhampiran sekolah di sekitar Bangsar dan Brickfields. 
"Suspek dipercayai seorang atau dua lelaki berketurunan India bermotosikal yang akan datang dari arah belakang mangsa sebelum bertindak menyimbah sejenis cecair dipercayai 'Alkaline-based' atau 'Oxidizing Agent' ke arah muka atau badan mangsa," katanya di sini hari ini. 
Menurut Chin Wah, cecair terbabit memberi kesan gatal kepada mangsa jika terkena kulit tetapi tidak mengakibatkan lecur. 
"Orang ramai yang menjadi mangsa atau melihat kejadian itu diminta melaporkan kepada polis di talian 'hotline' 03-21159999 agar tindakan segera dapat diambil untuk mengesan dan menangkap penjenayah terlibat," katanya.
-Harap pihak berkuasa pantau penjualan asid pada pelanggan yang bawah umur serta mengawal penjualan asid pada pelanggan-

Mayat Reput Dalam Keadaan Terduduk

KULIM - Bau busuk yang mengganggu penduduk sebuah rumah pangsa di Taman Jati Blok C, di sini terjawab apabila pihak polis menemui mayat seorang lelaki hampir reput, di tingkat tiga kediaman berkenaan.
 
Anggota Unit MPV Balai Polis Kulim yang menerima panggilan daripada penduduk bagaimanapun terpaksa memecah pintu sebelum memasuki rumah berkenaan.
Dari siasatan yang dijalankan, mayat lelaki yang ditemui dalam keadaan terduduk di atas kerusi ruang tamu dikenali sebagai Manivannam Ganiasamy, 33.
Mangsa sudah berumah tangga dan mempunyai empat anak. Dia tinggal bersendirian kerana isterinya T Murugammah, 29, mengambil keputusan untuk tinggal bersama ibunya di Block F di kawasan sama.
Ketua Balai Polis Kulim, Cif Inspektor Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, isteri mangsa kecewa dengan sikap mangsa yang sering mabuk dan tidak mahu bekerja.
Menurutnya, rumah yang didiami mangsa sekarang ini milik isterinya tetapi dilelong bank kerana kegagalan mangsa membayar wang ansuran bulanan.
“Kali terakhir isteri mangsa menghantar makanan kepada mangsa pada empat hari lalu. Namun berlaku perselisihan faham.
“Bagaimanapun isteri mangsa hanya mengetahui mengenai kejadian menimpa suaminya setelah dimaklumkan oleh jiran yang tinggal berdekatan dengan rumah mangsa, “ katanya.
 Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim bedah siasat semalam dan punca kematian masih dalam siasatan.
-sinar harian-

Dadah Dalam Ampau

 KUALA LUMPUR - Seorang peniaga bersama rakannya dipercayai mengedar dadah, ditahan di rumah di Sri Petaling, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul berkata, polis menjumpai 12 paket plastik dipercayai dadah jenis ketamin seberat 34 gram di dalam sebuah bilik.
“Kami turut menjumpai tin minuman, berisi satu paket plastik mengandungi lapan biji pil ekstasi seberat tiga gram, straw dan satu paket dadah jenis syabu.
Beliau berkata, 300 biji pil dipercayai dadah jenis erimin 5, diletakkan dalam tiga bungkusan sampul angpow di bahagian dapur rumah berkenaan, jumlah rampasan dianggarkan RM4,490.
“Lelaki ditahan berusia 34 tahun dan tidak bekerja, rakannya berusia 47 tahun seorang peniaga,” katanya.
-sinar harian-


Happy Chinese New Year From Awesome Blog.My

Wednesday, January 18, 2012

Pelajar Mencuri Televisyen Dipasaraya

 AYER KEROH - Hanya kerana di rumahnya tiada televisyen, seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sanggup mencuri sebuah televisyen LCD 32 inci di sebuah pasar raya, minggu lalu.

 Akibatnya, Mohd Hasrullah Zulkifli, 23, dari Desa Taming Sari, Sungai Udang dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd Hasrullah didapati mencuri sebuah televisyen LCD jenama Panasonic bernilai RM899 di Pasar Raya Jusco Aeon Bandaraya, Jalan Panglima Awang, kira-kira jam 8 malam pada 12 Januari 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Mohd Hasrullah mengaku bersalah terhadap pertuduhan kes yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Muhather Mohd Kudus di hadapan Majistret MuhammadHazri Hanafi.
Dalam rayuannya untuk mengurangkan hukuman, Mohd Hasrullah memberi alasan dia tidak mempunyai televisyen di rumahnya.
-sinar harian-

Remaja Perempuan Lari Dengan Kekasih


























KULIM - Seorang remaja yang bekerja di kedai menjual barangan perubatan herba dilaporkan hilang selepas berlaku pertengkaran melibatkan keluarganya. 

Sebelum dilaporkan hilang, Siti Nazirah Ismail, 18, memaklumkan kepada keluarganya dia akan menghadiri majlis pembukaan kedai baru syarikat di mana dia bekerja di Pekan Serdang sebelum kejadian.
Abang mangsa berkata, setelah sehari tidak menghubungi mana-mana ahli keluarga, dia mengambil keputusan untuk menghubungi syarikat di mana adiknya bekerja.
Menurutnya, syarikat terlibat memaklumkan majlis sepertimana dikatakan oleh mangsa tidak pernah dianjurkan.

“Kami sekeluarga kemudiannya memeriksa almari pakaian dan mendapati sebahagian pakaian dan barangan peribadinya sudah tiada.

“Sebagai ahli keluarga, pastinya kami mahukan yang terbaik untuk adik perempuan kami. Dipercayai adik saya mengikut seorang kawan lelakinya kerana pertengkaran yang berlaku sebelum ini juga melibatkan perkara ini,” katanya.

Katanya, adiknya sudah menjalinkan hubungan dengan kekasihnya sejak dua tahun lalu walaupun tanpa persetujuan keluarga.
“Saya tidak kisah sekiranya adik saya mahu mendirikan rumah tangga dengan sesiapapun tetapi pastikan pasangannya itu adalah yang terbaik untuknya,” katanya.
Keluarga mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Selama kira-kira jam 10.50 malam.

Waris mangsa juga turut meminta bantuan beberapa pihak di sekitar kawasan Kulim untuk membantu mengesan mangsa.
-sinar harian-

Laman Web Utama Negara Israel DiGodam

TEL AVIV - Dua minggu selepas Israel dikejutkan dengan insiden pendedahan maklumat peribadi kad kredit 400,000 orang Yahudi, sekali lagi kumpulan penggodam berpangkalan di Arab Saudi, OxOmar melancarkan perang siber ke atas dua laman utama di negara itu.


Dua laman sesawang rasmi yang menjadi sasaran, kelmarin dan tidak dapat beroperasi selama beberapa jam adalah laman sesawang sistem penerbangan El Al dan laman Bursa Saham Tel Aviv (Tase).
Jurucakap Tase menyatakan serangan tersebut tidak menjejaskan sistem dagangan saham sebaliknya hanya melumpuhkan laman utama.
Minggu lalu, aktivis berpusat di Gaza turut melancarkan serangan siber ke atas laman sesawang timbalan menteri luar, Danny Ayalon dan laman Perkhidmatan Pemadam Kebakaran dan Penyelamat Israel sehingga menyebabkan operasi kedua-duanya tergendala.
Sementara itu, jurucakap kerajaan Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, kerajaan memuji tindakan berani kumpulan penggodam tersebut dan menyifatkannya sebagai simbol kreativiti golongan pemuda di rantau Arab yang menyerang Israel secara senyap menggunakan kepakaran mereka.
Dalam satu mesej yang dihantar oleh OxOmar, mereka telah memberi amaran bahawa ia adalah permulaan perang siber ke atas Israel dan turut berikrar untuk membocorkan segala maklumat mengenai rejim Zionis pada masa akan datang.
-sinar harian-

Popular Posts

Recent Posts

Unordered List

Text Widget

Blog Archive

Powered by Blogger.

Tambah Pendapatan

Rakan Media


Awesome Reader List!!!