Friday, August 23, 2013

ISU Alvin Tan Vivian - Mohon Batal Satu Pertuduhan


KUALA LUMPUR - Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee yang didakwa dengan pertuduhan mempersendakan umat Islam dan Ramadan, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi mereka mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan.

Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau Lee May Ling, 24, memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu lepas.

Dalam permohonan itu, mereka memohon perintah deklarasi bahawa Seksyen 298A Kanun Keseksaan adalah tidak konsisten dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak sah di sisi undang-undang.

Pasangan itu juga memohon perintah deklarasi bahawa Seksyen 298A adalah tidak terpakai dan tidak boleh dikuatkuasakan terhadap mereka.

Mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan, Tan dan Lee didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang bertajuk "Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!)" yang mengandungi logo Halal, berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama di kalangan penganut agama berlainan.

Terdahulu, ketika prosiding di Mahkamah Sesyen, peguam Chong Joo Tian, yang mewakili Tan dan Lee memaklumkan bahawa anak guamnya telah memfailkan permohonan itu ketika kes mereka disebut di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Murtazadi kemudian menetapkan 19 Sept ini untuk pengurusan kes.

Mengikut pertuduhan, Alvin dan Vivian didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian - Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yang sama, mengikut Akta Hasutan 1948.

Mereka juga didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/, antara 6 Julai dan 7 Julai lepas, antara 9 malam dan 2 pagi, mengikut Akta Penapisan Filem 2002.

Sementara itu, Chong ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata permohonan itu difailkan atas alasan pertuduhan yang dihadapi anak guamnya mengikut Seksyen 298A adalah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Mengikut perlembagaan, seksyen itu hanya terpakai bagi mereka yang beragama Islam dan tidak boleh dikuatkuasakan terhadap kedua-dua anak guamnya kerana mereka non-muslim," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haffiza Jemali.- Bernama

0 Pandangan Membina!!!:

Popular Posts

Recent Posts

Unordered List

Text Widget

Blog Archive

Powered by Blogger.

Tambah Pendapatan

Rakan Media


Awesome Reader List!!!